
Fakta Menarik Sungai Perak
Sungai Perak, dengan panjang kira-kira 400 kilometer, merupakan sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia, selepas Sungai Pahang. Sungai ini mengalir dari Hulu Perak, yang berpunca daripada Banjaran Titiwangsa, hingga ke muaranya di Beting Beras Basah, di mana ia bertemu dengan Selat Melaka.
Sungai ini memiliki beberapa anak sungai penting seperti Sungai Bidor dan Sungai Kinta, yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai kawasan perlombongan bijih timah, terutamanya antara tahun 1850 hingga 1980.

Kegiatan perlombongan ini bukan sahaja menjana ekonomi negeri Perak, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan penempatan dan bandar-bandar utama pada waktu itu.
Berikut adalah beberapa fakta ringkas mengenai Sungai Perak:
Punca: Banjaran Titiwangsa
Muara: Hilir Perak (Beting Beras Basah)
Panjang: 400 km
Nama “Perak” dipercayai berasal daripada kilauan seperti perak (logam berharga) yang kelihatan di permukaan sungai ini. Sepanjang lembah Sungai Perak, pelbagai aktiviti manusia telah berlangsung sejak berabad-abad lamanya, menjadikannya salah satu sungai paling bersejarah di Malaysia.
Sungai Perak turut berperanan penting dalam pembangunan tenaga hidroelektrik. Terdapat empat empangan utama dibina di sepanjang laluan sungai ini, iaitu Empangan Bersia, Empangan Kenering, Empangan Chenderoh, dan Empangan Temenggor, yang kesemuanya terletak berhampiran kawasan Gerik. Empangan-empangan ini membekalkan tenaga elektrik serta menyumbang kepada pengurusan air dan pengairan kawasan sekitarnya.

Beberapa bandar utama terletak di sepanjang Sungai Perak, antaranya ialah bandar diraja Kuala Kangsar. Sebelum abad ke-19, kebanyakan penempatan di negeri Perak dibina berhampiran dengan sungai ini sebelum penemuan bijih timah mengubah tumpuan ke kawasan seperti Ipoh.
Salah satu anak sungai yang mengalir masuk ke Sungai Perak dikenali sebagai Sungai Kangsar. Bahagian di mana sungai ini bertemu dengan Sungai Perak dikenali sebagai “Kuala”. Di tebing sungai ini pula terdapat sebuah bukit yang dinamakan Bukit Residen, yang pernah menjadi tempat kediaman Residen British semasa zaman penjajahan. Bukit ini juga menjadi lokasi Mesyuarat Majlis Negeri yang dihadiri oleh Sultan, pembesar daerah dan Residen British.
Mesyuarat ini biasanya berlangsung selama beberapa hari dan dianggap sebagai satu peristiwa besar oleh rakyat jelata. Para pembesar tiba dengan bot layar, manakala kerabat diraja dan pegawai istana datang dengan menunggang gajah. Penduduk setempat pula berkhemah di kaki bukit dan menikmati pelbagai sajian serta aktiviti kebudayaan di tebing sungai sepanjang berlangsungnya mesyuarat. Disebabkan itu, kawasan kuala antara Sungai Kangsar dan Sungai Perak dinamakan sebagai Kuala Kangsar. Perkataan “Kangsar” pula dipercayai berasal daripada perkataan “Council” (majlis), manakala “Kuala” merujuk kepada pertemuan dua sungai.
Kisah dan sejarah Sungai Perak bukan sahaja mencerminkan pentingnya sungai ini dari sudut geografi dan ekonomi, tetapi juga menggambarkan kekayaan warisan budaya dan sejarah negeri Perak. Bagi para pelancong yang ingin menyelami khazanah negeri ini, lawatan ke Kuala Kangsar dan menyusuri Sungai Perak adalah satu pengalaman yang tidak harus dilepaskan.
Anda pencinta alam? Jom sertai pakej Waterfall Hunting bersama D’Rumah Bonda. Jom tengok pakej yang tersedia.


